Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor


Text

Jan 3, 2013
@ 7:09 pm
Permalink

Jelajah Anak Muda Menuju Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Johor

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

Kenyataan Media
3 Januari 2013

Jelajah Anak Muda Menuju Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Johor.

Pada 5 Januari 2013 hari Sabtu bertempat di Padang PPR Taman Kempas Permai, Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor bersama -sama dengan sekutu-sekutu NGO dan Parti Politik Pakatan Rakyat akan menganjurkan satu himpunan mega rapat rakyat yang bertemakan Jelajah Anak Muda Menuju Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 bermula jam 8.00 malam.

Dalam siri rapat rakyat kali ini akan membariskan pemidato-pemidato yang terdiri daripada anak muda, pimpinan NGO, pimpinan politik dan juga selebriti. Antaranya adalah YB Elizabeth Wong ( ADUN Bukit Lanjan merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor ), Sdr. Suhaizan Kayat ( Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ), Sdr. Mazlan Aliman ( Pengerusi ANAK ), Sdr. Wong Tack ( Anti Lynas Movement ), Sdr. Hishamuddin Rais ( Penulis Politik Tanahair ), Sdri Anis Afilda ( Pengerusi Gabungan NGO Pengerang ), Sdr. Adam Hamid ( Selebriti Tanahair ), Sdr. Nazri Deraman ( Royalti ) selain daripada pemidato-pemidato Solidariti Anak Muda Malaysia iaitu Sdr. Badrul Hisham Shaharin ( Ketua Penyelaras SAMM ), Sdr. Edy Noor ( Pengarah Propaganda SAMM ) dan Sdr. Zulkifli Ibrahim ( Pengarah Pengkaderan SAMM ). Tidak ketinggalan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, mantan Menteri Kabinet turut akan bersama dalam rapat rakyat ini.

Rapat rakyat ini merupakan antara siri Jelajah Anak Muda Menuju Himpunan Kebangkitan Rakyat yang sedang mengelilingi negara bagi tujuan mengembeling usaha mobilisasi dan juga membangkitkan kesedaran sivik masyarakat dalam mempertahankan hak mereka dari terus ditindas dan dizalimi oleh sebuah rejim korup yang senantiasa merompak hasil mahsul negara.

Di Negeri Johor ini turut tidak terlepas daripada penindasan dan tidak peduli rejim UMNO/BN terhadap rakyat negeri ini. Kita baru sahaja dikejutkan dengan insiden kematian 3 sekeluarga di Pengerang. SAMM Johor turut ingin merakamkan ucapan takziah dan dukacita di atas perkara ini. Rakyat merintih terkait bebanan kehidupan yang akhirnya merrenggut nyawa sendiri merupakan satu tamparan hebat buat negara ini yang Pemerintah sering mendabik dada akan kemajuan dan kehebatan negara.

Menjelang 5 Januari, SAMM Johor menerima pelbagai maklumat daripada pihak penduduk tempatan berhubung pelbagai usaha yang giat dilakukan oleh “askar upahan” rejim tua UMNO/BN yang ingin menggagalkan rapat rakyat ini. Yang terbaru, seorang Pembantu kepada Menteri telah datang bertemu penduduk PPR Kempas bagi tujuan untuk membincangkan perkara untuk mengganggu dan menggagalkan program rapat rakyat ini.

Rejim UMNO/BN terus cuba ingin menghalang proses demokrasi dan kebebasan bersuara daripada diamalkan di negeri ini setelah cubaan mereka untuk mengheret pihak Polis DiRaja Malaysia gagal apabila PDRM memberikan kelulusan kepada kami untuk menganjurkan rapat rakyat di lokasi yang tersebut di atas walaupun pihak rejim melalui “askar upahan” mereka telah mengemukakan bantahan dan juga berhimpun di hadapan Balai Polis Batu 10, Skudai baru-baru berhubung perkara ini. Ini menunjukkan sikap sebenar rejim usang UMNO/BN yang tidak pernah menghormati Keluhuran Perlembagaan dan juga prinsip-prinsip Rukun Negara.

Amalan-amalan provokasi UMNO/BN ini diteruskan dengan usaha mengoyakkan poster-poster promosi yang telah ditampal oleh aktivis-aktivis kami di sekitar kawasan Kempas. Ternyata, regim usang ini sedang menghayati zaman-zaman akhir pemerintahan mereka dengan sentiasa melakukan provokasi, sabotaj dan juga menggunakan samseng upahan untuk menakutkan aktivis-aktivis pro-perubahan.

Sehubungan itu, SAMM Johor ingin memberikan sedikit ingatan kepada rejim UMNO/BN untuk menghormati Kedaulatan Undang-Undang dan juga kebenaran yang diberikan oleh pihak PDRM. Usah cuba untuk menghantar pasukan “samseng upahan” anda. Kita teruskan perbezaan pandang politik dengan hujah dan idea bernas bukan dengan pendekatan politik rimba ini. Cukuplah anda menghina sendiri organisasi yang anda anggotai itu.

Namun begitu, skuad keselamatan SAMM Johor dan Unit Amal juga telah digerakkan sepenuhnya bagi mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini daripada berlaku. Sekiranya rejim UMNO/BN merancang untuk menghantar “samseng upahan” mereka, kami telah bersedia untuk mempertahankan keselamatan rakyat yang dahagakan perubahan di negeri Johor ini.

Hentikan sebarang cubaan untuk menghalang rakyat untuk melaksanakan kebebasan menerima maklumat. Hentikan sebarang cubaan untuk menghina kematangan fikiran rakyat Johor. SAMM Johor tidak akan berdiam diri selagi rejim korup yang sentiasa menghina kebebasan rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini masih lagi tertegak di bumi Johor.

Di kesempatan ini, SAMM Johor mengajak seluruh rakyat negeri Johor untuk bersama-sama dalam pesta demokrasi rakyat ini bagi mendengar sendiri luahan pelbagai segmentasi masyarakat berhubung pelbagai isu yang sedang membelit setiap urat nadi kita. Ini adalah perhimpunan aman yang dibenarkan undang-undang untuk kita menzahirkan keperitan dan iltizam berubah kita. Biarkan fraksi-fraksi yang cuba untuk mengganggu keharmonian negara, mereka sudah di hujung usia pemerintahan dan jelas ketakutan apabila memikirkan rakyat Johor juga telah berani bangkit berubah menolak UMNO di bumi kelahirannya.

Rakyat Johor yang tidak dapat bersama dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari nanti, perlu mengambil peluang untuk bersama-sama mencurah rasa secara aman akan segala kebejatan Rejim pimpinan Ghani Othman selama ini di Jelajah Anak Muda Menuju Himpunan Kebangkitan Rakyat di Padang PPR Kempas. Ayuh, tunjukkan rasa kepedulian anda terhadap masa depan kebajikan anak cucu kita nanti.

“Bangkit Rakyat, Lawan Penindasan”

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Negeri
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor